SEJARAH SEKOLAH

Sejarah Sekolah
......................................................................................................................   
   Sekolah Kebangsaan Siong didirikan  dalam tahun Masihi 1934 bersamaan dengan 01.10.1353  Hijrah.  Sekolah ini  pada mulanya  dirancang  untuk didirikan  di Kampung Bechah Sawa tetapi oleh kerana  beberapa hal, ia di pindahkan ke Kampung Lalang.  Sekolah  ini didirikan dengan  daya  usaha  Tuan Hj. Abdullah B. Haji Banggol ( Ketua ), Tuan Penghulu Abu Bakar, Tuan Haji Ahamad Bin. Abdul Rahman serta bantuan, sokongan dan kerja  gotong - royong dari orang ramai khasnya penduduk Mukim Siong.
Sekolah yang didirikan  ini kemudiannya dikenali sebagai Sekolah Rakyat Siong, Baling Kedah.  Dari nama tersebut,  tahulah kita  bahawa pada peringkat awal pembelajaran ianya  sebuah sekolah rakyat.  Ketika itu jumlah muridnya ialah 70 orang sahaja yang semuanya lelaki dengan tiga tenaga  pengajar, mereka ialah Encik  Mahmud  Bin. Haji Jusoh,  Encik Yaakob  Bin Mahmud dan Encik Musa Bin Hj. Ahmad.  Pentadbir sekolah adalah di bawah arahan Pejabat Negeri Kedah  dengan sistem pelajarannya mengikut sistem pelajaran penjajah.
    Pada 01.12.1950, Sekolah Rakyat telah diambil alih oleh kerajaan dengan sepenuhnya.  Nama Sekolah Rakyat telah ditukarkan kepada  Sekolah Melayu Siong.  Sejajar dengan peralihan tersebut, guru - guru kerajaan  yang berkelulusan SITC, TUOS dan  lain - lain.
Pada 01.01.1959, sebuah lagi bangunan  tambahan  yang berbentuk L didirikan.  Bangunan ini didirikan  dengan dayausaha YB Encik Shafie B. Hj. Abdullah (sekarang Tan Sri ), Guru Besar dan dengan  sokongan  wang  daripada seluruh penduduk Mukim Siong  dengan jumlah kutipan yang dipungut untuk tujuan tersebut ialah sebanyak RM 13 004.30 ( TIGA BELAS RIBU EMPAT  RINGGIT DAN SEN TIGA PULUH ). Daripada  kutipan  Rakyat ( RM 2004.30 bantuan Pejabat Pelajaran  Kedah  sebanyak  RM 6 000.00 manakala  daripada Lottery  Kebajikan Masyarakat  dengan  jasa baik Tan Sri Mohd. Khir B. Johari   (Bekas Menteri  Pelajaran  Malaysia).  Bangunan ini kemudiannya dibuka  dengan rasminya pada 23.08.1959 oleh Ketua Pegawai Pelajaran Negeri Kedah sebagai mewakili Menteri Pelajaran Tanah Melayu ketika itu.
    Di awal tahun 1968, sekolah ini dipinjamkan untuk penempatan murid - murid  Sekolah Menengah Siong, mereka belajar pada sessi petang ( khas  murid - murid  Sekolah Menengah Rendah sahaja ).  Penggunaan tersebut berterusan  sehingga bangunan Sekolah Menengah Siong siap dan boleh digunakan di akhir tahun 1974. Dalam tahun 1969, sebuah lagi bangunan baru didirikan.  Bangunan yang dikenali sebagai bangunan C mengandungi empat bilik darjah, didirikan di bawah projek Rancangan Malaysia  Kedua dengan jasabaik YB Tan Seri Shafie B. Hj. Abdullah (Wakil Rakyat  ketika itu ).
     Sejajar dengan perkembangan pelajaran dan kedudukannya sebagai sekolah rendah Gred A dalam tahun 1974, sebuah lagi bangunan sekolah didirikan di bawah Rancangan Malaysia  Ketiga. Bangunan tersebut adalah bangunan dua tingkat mengandungi  lima bilik darjah, sebuah pejabat Guru Besar serta tandas guru dan murid.   Bangunan ini mula digunakan dalam tahun 1979.  Sebelum bangunan di atas dibina, pembelajarannya terpaksa dijalankan  dalam dua sesi ( pagi danpetang).  Ini menyebabkan beberapa masalah timbul.  Oleh itu di akhir tahun 1977, Tuan Penolong Pengelola Sekolah - sekolah Daerah Baling, bagi pihak jabatan Pelajaran Kedah telah mengarahkan Encik Guru Besar Sekolah Kebangsaan Siong membuka cawangan  di Kampung Bandar, cawangan ini adalah khas bagi murid - murid dipersekitarannya.  Pada  01.01.1999, cawangan tersebut  telah dibuka kepada 4 bilik darjah ( darjah 1 & 2 sahaja ) dan mengandungi seramai 11 orang murid.   Cawangan ini mempunyai 4 orang tenaga pengajar  di bawah Penyeliaan  Cikgu Abdullah B. Hassan.
    Dalam tahun  1983, cawangan  tersebut berpisah dan mempunyai pentadbirannya sendiri.  Ia kemudiannya dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Kg. Bandar, Baling.  Biarpun begitu, Sekolah Kebangsaan Siong tetap utuh dan tegak identitinya yang tersendiri.  Dalam pada itu, kemerosotan murid - murid tidaklah dapat  dinafikan.  Walaubagaimanapun, sekolah ini tetap  dengan grednya dan terus akan berkembang maju mengikut arus perkembangan pelajaran.
    Pada tahun 1985 sebuah bangunan yang mengandungi empat buah bilik darjah dan sebuah stor telah dibina dibelakang bangunan A dan mula diguaakn pada awal tahun 1986.  Dalam  Malaysia Ke Enam ( iaitu dalam tahun 1993 ) sebuah lagi bangunan 2 tingkat didirikan  yang mengandungi 8 buah bilik darjah, 2 bilik air dan bilik serbaguna dibahagian bawah.
    Kini Sekolah Kebangsaan Siong ditadbir oleh Encik Mahali Bin Mahat dan dibantu oleh En. Rosli Bin Shaari ( Penolong Kanan 1 ),  En. Fuad Bin Abdullah (Penolong  Kanan Hal Ehwal Murid ) dan En. Wan Shaharuddin Bin Wan Abdullah  ( Penolong Kanan Kokurikulum).  Ia mempunyai 52 orang tenaga pengajar serta 500 orang murid yang  mengandungi 21 aliran serta dibantu oleh tenaga sokongan iaitu seorang juruteknik komputer,3 Pembantu tadbir, 1 orang Pembantu Am Rendah, 4 orang Pekerja Rendah Awam dan  dua orang Jaga.

1 comment:

  1. Sejarah tak lengkap aruah orang tua saya 22 tahun mengajar kat situ

    ReplyDelete